P/ss:-Afwan sebab dah lama tak update. Dah terlalu
lama. Maka, saya hadiahkan post ini untuk peringatan diri saya dan kalian yang
berada di jalan dakwah dan tarbiah ini.
Dia telah mendengar pengisian-pengisian yang
menyentap tangkai jantungnya untuk bangkit menegakkan Deen. Dia telah menelan
makna sebenar kesaksian. Dia telah bersetuju menggalas dakwah ini di atas
bahunya, dia telah rapi mengatur langkahnya bersama rombongan angkatan pejuang
al-haq ini.
Dia juga telah membuka seluruh jiwanya untuk
menerima kehadiran berita-berita pedih yang bakal muncul di sepanjang jalan
yang sangat panjang ini. Dia sudah mula menghiasi kotak mindanya dengan
merenung keruntuhan umat dan membenarkan hal itu merobek-robek hatinya yang
rindu melihat Islam kembali tertegak di tanah tempat dia berpijak. Ya, dia
seorang da'ie yang baru mulai sedar bahawa dia seorang da'ie!
Namun, dia juga yang kemudiannya menonton movie di
depan laptop. Bukan satu atau dua movie dalam simpanannya, tapi satu foldernya
penuh dengan movie pelbagai tema. Kadang-kadang dia menonton secara online.
Da'ie itu juga yang selepas habis berhalaqah, dia
bermain permainan video di komputer. Kadang-kadang sendiri, kadang pula
berteman. Tak juga mustahil, temannya itu juga seorang da'ie!
Ada masa, dia seorang da'ie yang tekun membaca
komik. Ada masa pula, novel menjadi pilihan-Twilight, Di Persisiran Rindu, Eat
Pray Love dan bermacam lagi. Dialah da'ie yang selepas berpenat mengharungi
musim peperiksaan lalu dia berehat dengan membelek-belek majalah hiburan untuk
mencari secebis keseronokan.
Facebook apa kurangnya, buat dia terhibur. Kadang,
berjam-jam juga dia melekat. Dia da'ie yang rancak melayan chatting,
comment-comment sana sini, like itu ini; dan seribu macam lagi interaksi di
laman Facebook yang tidak penting pun sebenarnya. Kadang-kala, sehingga solat
dilengah-lengahkannya.
Dia juga merupakan da'ie yang masih ringan menjaga
ikhtilat - masih ber'SMS' dan bercakap di telefon dengan corak ikhtilat yang sepatutnya
tidak terlihat pada seseorang da'ie yang sudah faham.
Ada waktu pul, dia adalah da'ie yang masih
berkeinginan untuk pergi ke tempa-tempat 'bergembira' seperti panggung wayang
misalnya, atau keraian-keraian yang ada terselit unsur-unsur lagha. Dengan
rasionalnya bahawa dia jaga pakaian, dia bukan pergi dengan couple, dia bukan
pergi lama dan bermacam bentuk lagi alasan untuk membenarkan kehendak dalam
dirinya itu. Tak kurang juga alasan yang berbunyi, dia kan seorang da'ie, dia
kan pergi usrah, dia kan rancak berprogram! Sekali sekala ke birthday party
bukan salah pun.
Sounds familiar??
Itulah hakikatnya seorang da'ie, atau bukan seorang
tapi ramai sebenarnya da'ie yang masih gagal mengikis karat-karat jahiliah pada
dirinya. Kefahaman tentang tugasnya terhadap deen sudah ada, malangnya dia
masih gagal menolak kehendak nafsu yang membisik-bisik dalam dirinya - iaitu
dorongan rasa mahu untuk mendapat secebis keseronokan di sebalik
aktiviti-aktiviti sia (lagha) itu.
Wahai dai'e! Bagaimana kamu mahu menyeru manusia
kepada Rabb, agar bertuhankan Allah dan HANYA Allah sahaja, sedangkan kamu
sendiri masih bertuhankan kehendak-kehendak yang bersembunyi dalam diri kamu
itu? Kamu masih dibayangi telunjuk kemahuan-kemahuan itu?
"Maka pernahkah kamu melihat orang
yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat
berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan
meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya
petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil
pelajaran?"
(Al-Jatsiyah ayat 23)
Wahai dai'e! sedarkah kamu bahawa gerak kerja ini
perlukan perkakasan yang benar-benar baik dan mantap kalau ia ingin
dilaksanakan dengan jaya. Sedarkah kamu bahawa kita sudah tak punya masa, kita
sudah kesuntukan tenaga.
Masih ingatkah kamu wahai dai'e, akan sepuluh wasiat
yang Imam Hassan Al-Banna tinggalkan?
Dirikanlah solat dengan segera apabila mendengar
azan walau dalam apa keadaan sekalipun.
Bacalah al-Qur'an atau bacalah buku-buku atau
dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah
membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.
Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk
bertutur Bahasa Arab yang betul (fus_hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara
syi'ar-syi'ar Islam.
Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara
sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.
Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa
berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu
tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.
Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada
kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi
yang sia-sia dan menyakiti hati orang.
Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam
pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan
kebaikan.
Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu
walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan da'wah kita
ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.
Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa
yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana
hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas
sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.
Sedarkah kamu wahai dai'e, jalan ini sudah tersedia
sangat panjang dan penuh liku, dan ia akan jadi bertambah panjang dan berliku
kalau peserta-peserta nya dipikat-pikat oleh kepalsuan manisnya noda jahiliyah.
Sedarkah kamu wahai dai'e, bukan dakwah yang
memerlukan kamu, bukan dakwah yang akan rugi kalau kamu tidak kikis dan buang
karat jahiliyah itu. Akan tetapi kamu yang akan rugi, akan lebih sakit dan
payah, akan lebih perlahan dan akhirnya kecundang. Mahukah kamu tersingkir dari
rombongan ini?
Wahai dai'e yang di sayangi, sedarlah betapa
bertuahnya kamu kerana dipilih oleh Allah untuk menemui erti perjuangan ini
lantas turut bersamanya. Betapa bertuahnya kamu kerana mengenal al haq. Maka
jangan lah kamu cemarkan kesucian al haq itu dengan noda jahiliyah yang kamu
tak ingin tinggalkan.
"Dan janganlah kamu campur adukkan
yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula
padahal kamu semua mengetahuinya."
(Al-Baqarah, 42)
Wahai dai'e yang sedang menelan pahitnya mujahadah,
sesungguhnya kamu sudah mengerti hakikat ini. Dan kamu memang sedar akan
kesulitan ini. Ya, kamu sedang berperang dengan nafsu, kamu sedang lelah
berlawan dengan sisa jahiliyah yang begitu bertubi-tubi serangan nya sambil
bergerak memikul dakwah di atas dada kamu.
Andai kamu hampir tewas, moga ini jadi semboyannya.
Andai kamu hampir terlena, moga ini jadi penggeranya.
Ayuh dai'e!! Tinggalkan semua kenikmatan palsu itu,
andai kamu merasa dunia ini banyak pesonanya, ingatlah bahawa rahmat dan syurga
Allah itu jauh lebih manis dan indah, dan Dia tidak sekali-kali mungkir pada
janjiNya. Asalkan kamu, benar-benar berjihad!
"Jika kamu tidak pergi beramai-ramai
(untuk berperang pada jalan Allah-membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu
dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu
dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun
kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(At-Taubah, 39)
Ayuh wahai dai'e, kita maju ke hadapan!
No comments:
Post a Comment