Thursday, July 14, 2011

Luahan-Muhasabah Sejenak Buat Musafir Ilahi-






Sebelum saya pergi lebih jauh dalam alam penulisan blog ini, elok rasanya bagi saya duduk dan bermuhasabah sebentar. Merenung dan melihat kembali kesalahan-kesalahan masa lalu, masa kini dan Insya-Allah dengan muhasabah saya ini, saya berharap moga Allah memberi petunjuk dan kekuatan kepadaku dalam usaha saya menyumbang sesuatu untuk agama Allah ini dalam wadah penulisan blog. Saya cuba berfikir sejenak apa yang tidak kena dengan blog ini. Saya sudah memulakan penulisan sejak April tahun ini tetapi sehingga kini(Julai 2011), saya hanya berjaya menarik 12 pengikut(itu pun ada yang saya jemput), dan hanya 3 orang yang komen post saya(satu saya dah delete atas sebab-sebab tertentu). Adakah kerana post saya membosankan? Adakah kerana page dan muka blog ini tidak menarik? Kalau nak dikatakan promosi, saya agak giat dan agresif juga mempromosikan blog ini bila saya sudah siap post baru. Kadang-kadang saya agak cemburu juga apabila melihat blogger-blogger islamik lain yang berjaya menarik lebih ramai pelanggan dan ramai komentar walaupun lebih baru daripada blog saya malah saya lihat mereka tidak agresif pun mempromosikan blog mereka. Di mana silap saya? Apa kurangnya saya? Apa lebihnya mereka? Jujur saya kata, kadang-kadang saya rasa agak kecewa dan sedih bila melihat situasi begini. Saya cuba nak menyumbang sesuatu kepada islam melalui bakat saya dalam penulisan ini, tetapi sambutannya agak mengecewakan. :( :( :(:(
Saya tahu sekarang ini Allah sedang menguji saya. Muhasabah punya muhasabah, akhirnya saya merasakan faktor ini yang menjadi punca utama blog saya tidak mendapat sambutan.

Bermulalah muhasabah bersahaja....

Adakah Allah bertakhta di hatiku? Tika saya sibuk mengajak dan menyeru kalian agar sentiasa cinta dan takut kepada Allah, saya tidak dapat menipu diri saya bahawa dua perasaan itu, iaitu cinta dan takut kepada Sang Pencipta masih belum tersemat di hatiku. Tika saya menggesa kalian agar sentiasa menyakini dan mematuhi hukum-hukum-Nya sebagai panduan hidup, saya masih tidak boleh menipu diri saya bahawa kadang-kadang(mungkin selalu) saya kalah dengan hawa nafsu saya sendiri untuk taat kepada hukum-hakam-Nya. Kadang-kadang saya masih gagal meninggalkan perkara yang haram dan dimurkai-Nya walaupun perkara tersebut kelihatan indah dan seronok ketika melakukannya. Saya sibuk mengajak dan menyeru kalian agar mengamalkan islam sepenuhnya tetapi saya masih tidak boleh menipu diri saya bahawa belum semua syariat Islam yang saya sudah patuhi. Kadang-kadang perkara ini menghantui saya sekaligus membuatkan saya berfikir dan merenung kembali, apakah Allah menjadi fokus utama dalam hidup saya? Apakah yang saya fikir, rasa dan lakukan sentiasa merujuk kepada-Nya atau hawa nafsuku sendiri? Bila bertembung antara kehendak-Nya dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku utamakan? Sanggupkah aku menyayangi orang lain kerana-Nya? Sanggupkah juga aku membenci orang kerana-Nya? Semua persoalan ini tidak dapat dijawab oleh akal yang sentiasa bersendikan logik saintifik semata-mata, tetapi hati nurani saya. Saya mungkin boleh menipu kalian, tetapi saya tidak mungkin boleh menipu rasa hati dan Pencipta hati ini. Apabila saya ditanya, "Apakah kamu takut kepada Allah?", Saya hanya mampu menjawab, "Aku rasa serba salah nak jawab ya atau tidak. Kalau aku jawab tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Kalau aku jawab ya, aku terasa macam orang munafik. Apa yang aku tulis dan cakap berlainan dengan hati aku. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tapi aku tidak." Apabila saya ditanya, "Apakah kamu cintakan Allah?", Saya hanya mampu menjawab, "Aku sedang bermujahadah agar aku mencintai-Nya. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin sekarang ini aku telah mulakan langkah pertama ke arah mencintai-Nya."

Perbandingan

Seorang budak menangis ketika melihat unggun api terbakar. Khalifah Harun ar-Rasyid bertanya, "Mengapa menangis?" Budak itu menjawab, "Aku takutkan api neraka." Khalifah itu memujuk, "Anak kecil sepertimu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka." Budak itu menjawab kembali, "Aku lihat ketika orang menyalakan api, mereka akan masukkan ranting-ranting kecil dahulu. Setelah ranting kecil terbakar, barulah dimasukkan kayu-kayu besar. Aku takut hal yang sama berlaku di neraka kelak. Aku umpama kayu kecil itukah?" Mendengar jawapan itu, khalifah turut menangis. Jelas, Allah bertakhta di hatinya. Pada suatu hari, Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang gembala kambing di tengah sebuah padang pasir."Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?" "Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja." "Kambing ini terlalu banyak di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji. "Kalau begitu di mana Allah?" ujar budak itu. Saidina terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Jelas, Allah bertakhta di hatinya. Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas pun semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana Allah. Jelas, Allah bertakhta di hatinya. Melihat kisah-kisah tersebut, saya jadi terkesima sebentar, adakah Allah betul-betul bertakhta di hatiku? Bila saya menulis, adakah niat saya betul-betul ingin mengajak manusia agar kembali kepada Allah? Atau saya menulis ingin mengejar populariti atau keuntungan? Atau saya menulis supaya saya dapat merebut kembali cinta seseorang agar bila dia baca penulisan saya, dia kagum dan menerima saya kembali?Atau saya menulis supaya orang ramai sanjungi saya? Nauzubillah minzalik!!!Moga-moga Allah menjauhi perkara-perkara tersebut dariku tanpa menafikan kadang-kadang semua perasaan itu terlintas di hati saya.

Kepada blogger islamik lain jua..

Walaupun post ini lebih kepada muhasabah saya sepanjang saya bergiat di alam penulisan islamik, tapi saya tujukan juga post ini kepada blogger-blogger islamik lain yang mempunyai matlamat yang sama seperti saya, iaitu mengajak semua manusia tunduk sepenuhnya kepada Allah dan ad deen-Nya. Mari sama-sama cermin diri kita dan islahkan kembali niat kita berblog, jadilah seperti jantung, walaupun jantung merupakan organ manusia yang tersembunyi daripada pandangan zahir, tetapi jantunglah organ manusia yang paling banyak bekerja dan bergerak berbanding tangan, kaki, mata dan lain-lain yang zahir pada pandangan orang. Setiap saat jantung mengepam darah ke seluruh saluran darah bagi memastikan kelangsungan hidup manusia. Jadilah seperti jantung, walaupun di bumi orang ramai tak kenal kita siapa, tapi di langit, Allah dan para malaikat mengenali kita dan sentiasa menyebut nama kita berkat kegigihan dan keikhlasan kita bekerja menegakkan agama Allah ini. Jadilah seperti wira yang tidak didendangkan. Akhir sekali, saya merasakan tidak mengapa kalau pengikut saya hanya berbelas-berbelas sahaja, tidak mengapa kalau komentar post saya hanya sedikit sahaja tapi biarlah saya mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah hasil usaha saya menyeru manusia kembali kepada Pencipta-Nya melalui penulisan blog ini. Dan, biarkanlah musafir ilahi bermuhasabah seketika pada pagi jumaat yang mulia ini................

-Mohd Syahmi bin Mohd Shaari-
-1.26 p.m-
-Jumaat, 15 Julai 2011-
-Bilik, Rumah TBC, Seremban-



1 comment:

  1. As'salam ya akhi,

    ini kali pertama rasanya saya sampai ke blog ni..

    bukan mudah nak bertapak dalam dunia blogging ni lagi-lagi blog2 islamik di celahan blog2 ber'genre' lain.

    bagi saya sendiri, saya cuba untuk menulis dengan penulisan yang ringan dan ringkas tetapi menyentuh hati dan senang difahami..

    mula dengan bertatih, lama2 berjalan, insyaAllah akan tiba masanya kita berlari..itu lumrah..

    jadi, teruskan bertinta dalam mengajak kepada kebaikan, insyaAllah Allah kira usaha kita bukan natijahnya..

    jangan putus asa. moga terus thabat lillahi taala.

    ReplyDelete