Wednesday, July 20, 2011

Perkongsian-Hiduplah hanya untuk hari ini-



Masih ada sinar harapan pada hari ini






Pernah tidak dalam hidup anda, anda berasa menyesal atas perbuatan anda pada masa lalu? Anda merasakan bodoh sangat-sangat bila terkenangkan perbuatan anda dan anda rasa menyesal sangat sehingga anda pernah berbisik di hati anda, "Kalaulah aku boleh kembali ke masa lalu, aku akan ubah segala-galanya." "Kalaulah aku boleh balik pada masa lepas, aku takkan buat kerja-kerja bodoh ini."Perkataan 'kalau' sering terkeluar daripada mulut anda bila anda terkenangkan peristiwa masa lalu di mana anda berasa menyesal teramat sangat bila anda melakukan perbuatan tersebut. Lagi satu, pernah tidak anda berasa risau dengan apa yang akan terjadi pada masa akan datang? Anda khuatir anda akan gagal, kecundang, derita dan kecewa pada masa hadapan padahal anda belum melakukan apa-apa lagi atau anda takut keputusan yang anda ambil pada hari ini memberi kesan buruk kepada anda pada masa hadapan. Perasaan menyesal sering menghantui anda bila anda terkenangkan perbuatan anda pada masa lalu manakala perasaan khuatir dan risau bermain di fikiran anda bila anda memikirkan keadaan anda pada masa hadapan. Saya percaya dan yakin pasti anda semua pernah mengalami perasaan ini. Walaupun bukan berkali-kali, tapi pasti pernah paling kurang sekali dalam hidup anda. Sejujurnya, saya pernah mengalami perasaan itu sehingga ke hari ini kadang-kadang perasaan tersebut sering mengantui diri saya. Apa yang saya sudah lakukan pada masa lepas? Apa yang saya risaukan pada masa akan datang? Saya tidak perlu cerita secara terperinci tapi cukuplah saya beritahu bahawa perbuatan buruk walaupun kadang-kadang kita tidak sedar pernah kita lakukan pada seseorang, kita rasa menyesal sangat sampai ke hari ini walaupun kita telah meminta maaf kepada orang tersebut sebab belum tentu orang itu akan memaafkan saya dan menerima saya kembali. Kadang-kadang keputusan yang saya ambil pada hari ini mengundang pelbagai persoalan di minda saya sehingga muncul perasaan risau dan khuatir tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa yang saya akan tulis ini bukan sekadar untuk dihafal atau teori semata-mata tapi saya berharap moga-moga diri saya sendiri dan kalian boleh menghayati dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Terimalah daripada hati kecil saya berbicara.......



Pendek Angan-angan


Bila kita telusuri sirah para sahabat, kita dapat melihat bahawa hidup para sahabat sentiasa dalam keadaan tenang dan bahagia walaupun badai cabaran sentiasa melanda mereka dalam usaha mereka menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Agak-agaknya apa rahsia mereka ye? Mereka tidak mempunyai kecanggihan teknologi dan kesenangan hidup yang kita kecapi sekarang, tapi bila dibandingkan kehidupan kita dengan mereka sangat jauh berbeza. Hidup kita kadang-kadang lebih sengsara, derita dan merana walaupun kita memiliki kekayaan, kemajuan dan kemudahan yang tidak dinikmati oleh para sahabat. Sebenarnya para sahabat hidup dalam penuh kesederhanaan . Bagi yang kaya, syukur. Bagi yang miskin sabar. Sifat syukur dan sabarlah kunci utama mereka mengecapi kekayaan hati dan ketenangan hidup di dunia. Mereka benar-benar melaksanakan tuntutan hadis Rasulullah s.a.w., "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan, dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala, apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya."(Riwayat Muslim). Apa yang saya nak kaitkan muqaddimah di atas adalah para sahabat PENDEK ANGAN-ANGAN. Mereka hidup dalam lingkungan hari ini. Ahli psikologi pernah berkata, "Tugas manusia bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih kabur di hadapan, tetapi bertindak dengan apa yang ada dalam genggaman." Walaupun ahli psikologi itu dari barat, tetapi para sahabat sudah mengamalkan prinsip hidup itu sejak sekian lama lagi. Mereka tidak bimbangkan apa yang sudah berlaku pada masa lalu, mereka tidak khuatir apa yang akan terjadi pada masa depan tetapi mereka menggunakan sepenuhnya masa HARI INI seoptimum mungkin. Mereka terus fokus dan fokus melakukan yang terbaik pada masa hari ini tanpa menunggu pada esoknya. Mereka tidak pernah bertangguh dalam usaha mereka melakan kebaikan dan mereka tidak bertangguh meninggalkan kejahatan walaupun sekecil mana pun kejahatan itu. Daripada Ibn Umar r.a. katanya "Rasulullah s.a.w. telah memegang bahuku lantas berkata "Hendaklah kamu menjadi seorang pedagang di dunia ini atau seorang pengembara.." Ibn Umar r.a. berkata:- "Apabila kamu berpetang-petang, janganlah kamu menunggu waktu pagi dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah kamu menunggu waktu petang dan pergunakanlah masa sihatmu sebelum sakitmu dan masa hidupmu sebelum matimu."(Riwayat Bukhari) Lihat, anda nampak gaya kehidupan mereka. Boleh kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita?



Mengingati mati


Lagi satu rahsia para sahabat adalah mereka banyak mengingati mati. Kenapa? Tak percaya? Saya pernah jumpa dengan orang yang mengatakan bahawa mereka yang mengingati mati, hidupnya tidak produktif dan mereka sentiasa dalam kesedihan kerana mati sentiasa bermain dalam fikirannya. Soalnya, benarkah? Sebelum saya teruskan, mari kita hayati hadis nabi ini. mafthumnya, "Orang yang paling bijak adalah orang yang banyak mengingati mati dan membuat persiapan untuk menghadapi mati." Ya, orang yang banyak mengingati mati tidak ada istilah 'tangguh' atau 'tunggu' dalam hidup mereka. Bagi mereka, seolah-olah tidak ada esok baginya. Bagi yang bekerja, mereka akan melakukan dengan penuh kesungguhan, produktiviti dan tepat pada masanya sebab takut-takut mereka tidak hidup pada keesokan harinya. Mereka takut bila mereka mati, mereka akan dipersoalkan tentang amanah yang tidak mereka selesai disebabkan sikap tangguh mereka. Itulah semangat para sahabat.Mereka mempunyai masa yang sama dengan kita, 24 jam, mereka juga manusia, punya tangan, kaki dan otak, tetapi kehidupan mereka lebih produktif dan berkualiti disebabkan mereka bersikap optimis, sentiasa memanfaatkan masa yang ada dan tidak pernah bertangguh-tangguh. Kita bagaimana?


Mari, mulakan kehidupan baru


Akhirnya, saya menyeru anda semua termasuk diri saya sendiri agar kita mulakan kehidupan yang baru dengan semangat dan tekad yang baru. Ayuh, kita lupakan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Jangan kita dihimpit derita dan kesengsaraan jiwa kerana memikirkan apa yang telah berlaku. Yang sudah, sudahlah. Yesterday ended last night. Sebaik kita mengambil ibrah(pengajaran), ayuh kita lupakan dan JANGAN ULANGI perbuatan yang sama. Seorang mukmin tidak akan terjatuh di lubang yang sama. Imam Ghazali pernah berkata,"Perkara yang paling jauh adalah masa lalu." Walaupun kita menggunakan teknologi kenderaan berkelajuan cahaya sekalipun, kita tidak boleh malah mustahil untuk kembali ke masa lalu. Terimalah realiti walaupun menyakitkan. Kita punya air mata yang dikurniakan Allah, menangislah sepuas-puasnya. Esoknya, kita mulakan hari baru dengan kesungguhan dan semangat yang lebih kental dan lupakan apa yang telah berlaku. Usah khuatir apa yang akan berlaku pada masa akan datang. FIKIRLAH TAPI JANGAN KHUATIR. Buatlah perancangan yang rapi untuk masa hadapan, tetapi jangan lupa bekerja dan manfaatkan sepenuhnya masa pada hari ini dan selepas itu usah risau hasilnya pada masa hadpan. Percayalah, kita sudah berusaha sebaik mungkin pada hari ini, Tuhan tidak akan mengecewakan anda pada masa akan datang . Jangan ucap kalimah 'kalau' daripada mulut anda kerana sesunguhnya kalimah kalau itu membuka pintu syaitan. Anda akan menafikan segala ketentuan Allah terhadap anda dan mulalah nanti anda mempersoalkan macam-macam. Anda menganggap apa yang telah berlaku adalah tidak baik untuk diri anda. Sedarlah, anda hanyalah hamba-Nya, apa yang telah berlaku pada diri anda walaupun pada pandangan manusia buruk, tetapi pada pandangan Allah semuanya tiada yang buruk, semua baik bagi hamba-Nya. "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."(Al-Baqarah, ayat 216). Maha Suci Allah daripada bersifat zalim terhadap hamba-Nya. "Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat pun untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang,penuh kesabaran, kasih sayang dan bersih sehingga matahari jatuh. Dan inilah maknanya sebuah kehidupan."(Robert Louis Stevenson). Ayuh, manfaatkan hari ini. Masa lalu, usah dikenangkan, masa hadapan, usah dikhuatirkan."Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memenggalnya, nescaya ia akan memenggal lehermu".(Saidina Ali r.a.). Moga-moga post saya kali ini membawa manfaat pada diri saya dan anda semua. Ya Allah, saksikanlah aku telah sampaikan....



-Mohd Syahmi bin Mohd Shaari-


-2.20 p.m.-


-21 Julai 2011(Khamis)-


-Langkawi International Airport-


1 comment: