Saturday, July 9, 2011

Perkongsian-Mereka masih ibu bapamu-



Ingatlah, dio totap ayah ekau.



"Sejak mak aku meninggal sebab kemalangan, ayah aku buat aku dan abang-abangku macam sampah. Sejak tu sampai sekarang, dia benci kat aku. Dia ungkit balik kesalahan-kesalahan aku masa aku kecik dulu. Asal aku silap sikit, dia maki-hamun aku macam-macam. Banyak kali dia kata dia menyampah tengok muka aku sampaikan pernah suatu hari dia mengaku yang dia tak anggap aku ni anak dia. Bla...bla...bla......".Luah seorang kawan karibku kepadaku pada suatu hari.Saya diam seketika. Saya dapat rasa bagaimana kecewa dan sedihnya perasaan dia ketika itu. Saya banyak mendengar daripada mencelah ketika itu. Cuba memahami masalah yang dia hadapi dan cuba menolongnya berupa kata-kata nasihat. Ya, siapa yang tidak hancur dan luluh hati apabila seorang ayah tidak menganggap kita sebagai anaknya malah sentiasa memaki-hamun tanpa sebab yang munasabah. Tapi, dalam kekecewaan hati kawan saya ini, hati dia masih terselit sifat kemanusiaan kepada seorang insan yang bergelar ayah. "Aku sedar dia tetap ayahku. Walau macamanapun, aku tak boleh tinggi suara kat dia dan melawan cakap dia. Cuma, aku berharap supaya ayah aku benar-benar berubah suatu hari nanti." Kesedaran bercampur harapan kepada ayahnya. Alhamdulillah, dari satu segi, dia masih anak yang soleh dan taat. Bukan saya seorang sahaja dia luahkan, malah sebelum ini dia pernah luahkan masalah ini kepada kawan-kawanku yang lain. Antara jawapan yang dia dapat, "Dia tetap ayah kau. Kau, tetap kena hormatkan dia.", "Kau diam dan sabar je."

Jawapan saya

Saya tak nak beri dalam bentuk dialog antara saya dengan dia. Dalam hal ini, saya cuba beri pandangan saya dalam bentuk artikel agar saya boleh berkongsi dengan kalian semua. Tapi, apa yang saya tulis ini adalah kata-kata nasihat sebenar saya kepada dia dalam bentuk artikel. Saya cuma menambah sedikit dari segi dalil-dalil naqli.

1.) Kita hanya hamba-Nya

Seringkali pernah terdetik dalam hidup kita apabila kita didatangi sesuatu masalah dan malapetaka yang merunsingkan kita, kita mengeluh dan seolah-olah kita mempersoalkan masalah itu. Kita merasakan bahawa kita tidak patut dan tidak layak menerima masalah itu. Kadang-kadang, kita merasakan bahawa kita sudah taat pada semua perintah Allah dan tidak pernah derhaka kepada-Nya, tetapi bila sekelumit Allah mendatangkan musibah kepada kita, kita membentak, "Ya Allah, apa silapku, apa dosaku pada-Mu sampai Engkau datangkan musibah ini?" Kita merasakan bahawa kita sudah 'selesai' urusan kita dengan Allah hasil 'ketaatan' kita kepada Allah sebelum ini sehingga merasakan bahawa kita tidak layak diuji oleh Pencipta kita. Maaf, kalau anda merasakan begitu, sedarilah hakikat anda merasakan bahawa anda 'tuan' bukan 'hamba' kepada Dia. Kalau anda mengaku bahawa anda hamba kepada Dia, anda akan sentiasa merasakan bahawa anda layak diuji oleh Dia. Kalau anda menganggap bahawa ketaatan anda kepada Dia hanya perlu dibalas oleh selaut kenikmatan sahaja tanpa sekelumit pun musibah, sedarlah bahawa hakikatnya anda menganggap diri anda 'tuan' kepada Dia. Alangkah beraninya anda mengganggap diri anda 'tuan' kepada yang telah menciptakan anda, menghidupkan anda, memberi anda nikmat-nikmat tak terkira, dan akan mematikan anda suatu hari nanti. Adakah Allah mahu menguji anda sesuka hati Dia sahaja? Tidak, Maha Suci Allah daripada bersifat zalim terhadap hamba-Nya. Baiklah, saya nak anda semua sila baca dan hayati ayat Quran ini satu persatu. Biar ia meresap ke dalam hati anda. " Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta."
(al-Ankabut: 2-3)

Ya, percaya dan yakinlah bahawa Allah menguji anda sebab Dia nak lihat sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Sejauh mana kita bersabar atas musibah yang kita hadapi.

2.) Bagaimana hubungan kita dengan Allah?

Percaya tidak kalau saya katakan bahawa kerapuhan hubungan kita dengan Allah menyebabkan kita sentiasa dilanda masalah. Kita rasa ada sahaja yang tak kena dengan hidup kita ini. Mari kita muhasabah kembali sejauh mana kita sudah melaksanakan perintah kita kepada Allah? Solat kita, sejauh mana kita menjaganya dari ketepatan waktu dan tertib? Sejauh mana kita merasa khusyuk dalam solat? Sejauh mana kita medekatkan diri kepada-Nya dengan ibadat-ibadat yang wajib dan sunat? Baiklah, saya nak anda semua betulkan paradigma anda ketika anda ditimpa musibah. Saya nak bila anda ditimpa musibah, anda bertanya kepada diri anda dahulu, "Sejauh mana saya sudah menjalankan perintah-Nya kerana cinta kepada Dia, sejauh mana saya tinggalkan maksiat dan dosa kerana takut kepada Dia." Percaya dan yakinlah, bila Allah menguji anda dengan musibah, itu tandanya Dia sedang membisik kepada anda supaya anda kembali kepada-Nya. Hanya kembali kepada-Nya, anda akan bahagia dan tenang di dunia ini. Tidakkah anda nampak semua ini? Dengarlah bisikan-Nya berupa musibah di dunia ini. Jangan nanti bila tiba jeritan-Nya berupa seksaan di api neraka kelak, kita baru nak tersedar. Ayuh, sama-sama hayati hadis Qudsi ini, Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Nabi saw. bersabda :
“Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil."(Hadits ditakhrij oleh Bukhari). Jadi, usah bertangguh, mari kita kembali menjadi hamba yang sebenar-benarnya. Setiap masalah datangnya daripada Allah yang mendatangkannya, Allah jualah yang Maha berkuasa menghilangkan masalah itu dengan kehendak-Nya.

Walau bagaimanapun...

Walau sekotor, sejahat dan sejelek manapun ibu bapa anda, dia masih tetap ibu bapa anda. Anda harus wajib menghormati dan menyayanginya sebagai seorang anak. Tetapi, anda harus ingat, ketaatan kita kepada kedua ibu bapa adalah atas dasar ketaatan kita sebagai seorang hamba kepada Allah. Selagi arahan dan perintah mereka tidak bertentangan dengan syariat, maka anda wajib patuhi. Tetapi, andai perintah mereka bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah anda ikut, cubalah memberi alasan dengan lemah-lembut dan berhikmah kepada mereka. "Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu-bapaknya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh benar-benar akan Kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang-orang yang saleh". ( An.Ankabuut : 8 - 9)

Bersabarlah menanti saat itu

Saya tahu orang yang menghadapi tidak sama dengan orang yang hanya pandai bercakap. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tapi, saya merasakan kewajiban saya sebagai seorang kawan dan seorang muslim untuk memberi nasihat lebih-lebih lagi apabila diminta. Kepada kawanku dan sesiapa sahaja yang menghadapi masalah seperti ini, pertama yakinlah bahawa Tuhan kamu, Allah tidak zalim. Apa yang dia turunkan kepada hamba-Nya berupa musibah, pasti mampu ditanggung oleh hamba-Nya. " Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.(al-Baqarah:286). Berdoalah kepada Allah agar suatu hari nanti Allah melembutkan hati ayahmu. Jangan sombong untuk berdoa kepada Dia. Berdoa tanda bahawa kita masih hamba kepada Dia dan kita masih berharap dan memerlukan Allah dalam kehidupan kita. Ingatlah, Dia lah yang telah menciptakan ayahmu, Dia lah yang memiliki hati ayahmu dan hanya Dia lah yang berkuasa mengubah hati ayahmu. Teringat saya kepada kata-kata ulama, " Hati itu berada pada dua celah jari ar-Rahman, Dia membolak-balikkannya mengikut yang Dia kehendaki." Jadi, bersabarlah menanti saat itu. Teruslah menjadi hamba Allah yang taat, teruslah menjadi anak yang soleh dan tunggulah saat yang indah itu. Yakin dan pastilah. Kalau tidak bukan di dunia, di akhirat Allah pasti memberinya. “Barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam surga-surga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang sangat besar.”( an-Nisa’: 13)

-Mohd Syahmi bin Mohd Shaari-
-10 Julai 2011-
-3.20 a.m.-
-Bilik, Rumah TBC-

No comments:

Post a Comment