Thursday, May 26, 2011

Puisi-Surat Cinta Paling Bermotivasi-






Oh Tuhan,
Sering juga ku bertanya pada diriku untuk apa Kau menciptakan ku,
Lalu ku membuka kalamMu,
Persoalan pertama terjawab jua bila ku jumpa ayatMu,
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu"
Baru ku tahu aku sebenarnya dicipta untuk berbakti kepadaMu,
Tapi hatiku masih bertanya sebab apa aku harus berbakti kepadaMu,
Persoalan itu terjawab bila aku terbaca ayatMu yang berbunyi,
"Dari Mu kami datang, kepada Mu jua kami dikembalikan"
Aku pun mengerti bahawa aku sebenarnya datang daripadaMu,
Dan aku juga akan dikembalikan kepadaMu.

Oh Tuhan,
Kau telah ciptakan kehidupan ini penuh warna-warni,
Ada ketikanya aku suka dan ada ketikanya aku duka,
Bila ketika aku suka dan senang,
Ku teringat firmanMu yang Kau ulangi beberapa kali dalam Surah Ar-Rahman,
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Ahhh...nikmat Mu tidak terhingga,
Tapi seringkali aku tidak bersyukur atas nikmatMu,
Astarfirullah, kufurnya aku,
Benarlah kata-kataMu yang berbunyi,
"Dan amat sedikit dari hamba-hambaKu yang bersyukur."
Ada ketikanya aku duka dan susah,
Pernah juga ku bertanya kenapa musibah ini menimpaku,
KalamMu pun berbicara pada ku,
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,
"Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
Aku pun mengerti bahawa hidupku ini adalah untuk diuji,
Diuji untuk mengetahui sejauh mana keimanan ku padaMu.
Tapi, aku tahu rahmat dan kasih sayangMu sangat luas,
Tidak akan Kau biarkan kesusahan ini berlalu selamanya,
"Sungguh, setiap kesusahan pasti ada kesenangan"
Engkau tidak pernah memungkiri janji,
Ampunilah aku kerna sering aku tidak bersabar atas musibah yang menimpa diriku,
Sering aku menghitung kesukaranku berbanding menghitung kesyukuranku,
Sekali lagi, astargfirullah....

Oh Tuhan,
Kadang-kadang perasaan kecewa dan sedih menjengah dalam hatiku,
Akhirnya 'ayatMu' datang membangkitkan semangatku,
"Dan janganlah kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman."
Bila timbul perasaan malas pada diriku untuk melakukan kebaikan,
Aku tahu syaitan sedang mempengaruhiku,
Lalu ayatMu datang memberitahu cara untuk menangkisnya,
"Dan jika setan datang mengodamu, maka berlindunglah kepada Allah."
Bila timbul perasaan gelora untuk melakukan kejahatan,
'Surat'Mu mengingatkan diriku yang sering alpa ini,
"Syaitan telah menguasai mereka, dan menjadikan mereka melupakan peringatan Allah. Mereka itu golongan syaitan; sesungguhnya golongan syaitan, merekalah orang-orang yang rugi."

Oh Tuhan,
Sesungguhnya aku tak layak ke syurgaMu tapi aku juga tak sanggup ke nerakaMu,
Aku teringin untuk berjumpa denganMu di akhirat nanti,
Tapi hatiku bertanya bagaimana?
Akhirnya Kau dengan keagungan wahyuMu memberitahu,
"Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannnya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesiapa juapun sewaktu dia melakukan amal ibadah tersebut."
Bagaimana nasibku di sana?
Adakah aku bahagia atau celaka di sana?
Adakah aku terpilih untuk menikmati nikmat paling besar di sana,
Nikmat apa? Nikmat memandang wajahMu,
"Wajah-wajah(orang mukmin) pada hari itu berseri,
memandang Tuhannya."

Oh Tuhan,
Kau bimbinglah aku,
Tunjukilah aku ke jalanMu,
Jalan yang akan membahagiakan aku di alam sana,
Sekali lagi dengan kasih sayangMu,
Kau mengutuskan 'ayat' yang indah untuk ku amalkan,
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."
Sekali lagi dengan rahmatMu yang maha luas,
Engkau kirimkan daku doa yang menenangkan jiwaku,
"Ya Allah, berikanlah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan lindungilah kami dari azab nerakaMu."

Oh Tuhan,
Terima kasih kerana mengutuskan 'ayat-ayat' cintaMu,
Dengannya aku dapat mengenaliMu,
Dengannya aku dapat mengetahui jalan untuk mencintaiMu,
Cinta yang tidak akan lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas,
Cinta sejati yang sentiasa memberi kekuatan kepadaku,
Melalui 'surat cintaMu',
Inilah dia surat cinta paling bermotivasi dalam hidupku,
Al-Quran, kalamullah paling agung.

-Mohd Syahmi bin Mohd Shaari-
-Rumah TBC, Seremban-
-1.11 a.m.(27 Mei 2011)-
-P/sss:-Minggu ini saya rasa jiwa saya agak kosong dan sedikit bercelaru. Baru kusedari minggu ini saya kurang dekatkan diri dengan Al-Quran. Tidak istiqamah tilawah satu juzuk sehari dan hafazan. Tidak boleh jadi ni, saya berazam(moga-moga bukan hanya kata-kata kosong) akan saya tebus 'kesalahan' saya minggu ini. Alhamdulillah, malam ini baru terjumpa satu cara bagi menghafaz Al-Quran dengan mudah dan senang, 'Kaedah Jibril'. Saya bercadang ingin membelinya. Satu kaedah secara praktikal yang terbukti berjaya membuatkan orang awam menghafaz Al-Quran dengan mudah walau sesibuk manapun. Moga-moga Allah memberi petunjuk dan kekuatan kepadaku dalam usaha aku mendekatkan diri kepadaNya. Amin...-

No comments:

Post a Comment