Thursday, April 21, 2011

Cinta Allah fitrah semula jadi kita?





Apa itu cinta?

Cinta???Apa yang anda faham bila disebut perkataan yang paling disukai semua orang. Tanyalah siapa-siapa bahkan kepada orang jahat sekalipun, bila kita sebut cinta, pasti benda tu mendatangkan keseronokan dan kebahagiaan kepada seseorang. Sesuatu benda yang kita suka teramat sangat bahkan ada yang sanggup berkorban harta, masa dan jiwa raga demi cintanya terhadap sesuatu. Sebab itulah munculnya istilah 'mabuk cinta', dan macam-macam istilah yang sama maksud dengannya. Ya, setiap orang ada benda yang dia cintakan. Saya yakin tiada orang yang tiada benda langsung yang dia cintakan. Tapi, setiap orang ada tafsiran sendiri mengenai cinta dan cinta kepada siapa. Ada orang cinta kepada sesuatu tapi orang lain memandangnya sebagai benda yang busuk dan kotor dan sebaliknya. Ada cintanya kepada sesuatu diakhiri dengan penderitaan dan kesengsaraan. Mungkin cintanya terhadap sesuatu mendatangkan kebahagiaan baginya di dunia tapi diakhiri kesengsaraan di akhirat. Mungkin cintanya terhadap sesuatu tatkala orang lain melihat sebagai satu penderitaan tapi di akhirat kelak, dia mendapat kesenangan abadi selama-lamanya hasil cintanya terhadap perkara tersebut. Apa kita cakap mengenai cinta, kita tidak boleh lari daripada soal hati sebab cinta itu terletak di hati. Hati umpama raja bagi seluruh tubuh." Bahawasanya di dalam jasad anak adam ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah bahawa daging itu hati."(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Soalnya, apa itu cinta? Menurut Imam al-Ghazali, cinta ialah kecenderungan yang amat kuat dalam diri seseorang terhadap sesuatu yang boleh memberi kelazatan dan sangat serasi dengan fitrah manusia.

Apa fitrah manusia?

Baiklah, saya nak tanya anda semua, apa itu fitrah(nature) manusia? Saya nak anda semua jawab secara jujur mengikut kata hati anda, apa yang anda suka? Anda suka ke benda yang kotor, busuk, jahat,bahaya,hina,miskin dan sifat-sifat buruk yang lain? Tolong jujur dan tanya hati anda sendiri, anda suka dan seronok ke bila sifat-sifat itu bersarang dalam diri anda? Bila anda memiliki sifat-sifat tersebut, hati anda rasa bahagia dan tenang ke?Maaf, saya tak nak jawab, anda boleh fikir dan rasa sendiri sebab benda itu 'nature' dalam diri manusia. Sudah tentu tidak!!!!Jadi, apa fitrah semula jadi manusia? Setiap manusia sangat sukakan benda-benda yang sempurna(al-kamal) dan indah(al-jamal). Jadi, saya nak tanya anda semua, siapakah yang lebih sempurna dan indah daripada Pencipta manusia sendiri?

Cinta Allah fitrah hati

Percaya atau tidak jika saya katakan secara fitrahnya manusia memang cintakan Allah malah cinta pertama dalam semua manusia adalah cinta kepada Allah. Baiklah, saya nak anda fikir dan renung perkara ini dengan mendalam dan tanya kata hati anda sendiri. Cuba anda tanya hati anda, adakah hati anda sukakan kasih sayang, keadilan, kekayaan, keindahan,kemaafan dan sifat-sifat mulia yang lain? Saya sangat yakin semua orang akan jawab ya. Bila anda dilanda kemiskinan, hati anda menginginkan kekayaan agar anda terlepas daripada kesempitan hidup. Bukankah Allah itu al-Ghani, Maha kaya? Bila anda dipinggirkan dan dibenci, kita inginkan kasih sayang. Bukankah Allah itu al-Rahim, maha penyayang, sifat yang sangat diperlukan oleh hambaNya?Bila kita dizalimi, hati kita pasti inginkan keadilan. Bukankah Allah itu al-Adl, Maha Adil kepada hamba-hambaNya? Bila kita buat salah kepada seseorang, kita inginkan kemaafan daripada orang tersebut. Bukankah Allah itu al-Ghaffar, maha pemaaf kepada hambaNya yang berdosa? Sebutlah apa sahaja sifat-sifat sempurna ,baik atau mulia, sebenarnya sifat itulah yang menjadi asas bagi manusia untuk mencintai Allah. Bila fitrah manusia secara semula jadi suka kepada sifat-sifat tersebut, secara automatik fitrah manusia cintakan Allah atau saya katakan rasa bertuhan. Rasa bertuhan inilah benih cinta yang telah di'install' dalam diri manusia sebagai asas untuk mencintai Allah. Menurut Imam Al-Ghazali, rasa bertuhan inilah yang tidak dapat dinafikan oleh hati kecil manusia walaupun sifat keegoaan manusia itu yang menafikannya.

Kenapa perlu cintakan Allah?

Pernah anda terdetik tanya soalan begini? Jawab saya senang je. Sebab Allah yang paling mencintai kita. Allahlah yang paling mencintai kita daripada orang yang telah, sedang dan akan mencintai kita. Bahkan orang yang sayangkan kita pun hakikatnya Allah yang menjadikan orang itu dan meniupkan rasa kasih orang itu kepada kita. Bahkan ibu, insan yang melahirkan kita ke dunia ini, kasih sayangnya jika dibandingkan dengan kasih sayang Allah terhadap kita hanyalah sekelumit sahaja. Sebab yang lain ialah Allah yang menciptakan kita daripada tiada kepada adanya kita di dunia ini. Allah jugalah yang memberi rezeki yang tak terhingga kepada kita. Boleh anda sebut semua rezeki yang Allah berikan kepada anda sepanjang hidup anda? Tak perlu kira, anda tidak akan mampu hitung semua rezeki Allah kepada anda. "Jika kamu hendak menghitung nikmatKu, nescaya kamu tidak terhitung."(Surah Ibrahim:ayat 34). Cukup jawapan yang saya berikan kepada anda? Kalau anda tidak puas hati juga, anda boleh lihat sendiri terjemah quran. Cuba baca, fahami dan hayati ayat-ayat Quran. Saya percaya anda akan dapat jawapannya.

Saya adalah diri saya

"Kau tak payahlah nak nasihat aku lagi. Aku dah dilahirkan macam ni. Inilah diri aku yang sebenar. Allah dah cipta aku macam ni. Aku memang dah jahat sejak kecik." Pernah anda jumpa orang sebegini. Saya? Ya, saya pernah bahkan banyak kali. Soal saya, betul ke kenyataan itu? "Aku adalah diri aku. Aku memang dah begini." adalah satu alasan yang salah dan tidak betul sebenarnya. Anda bukan diri anda bila anda mengingkari Allah. Anda bukan diri anda bila anda melanggar fitrah(nature) hati anda sendiri. Anda diciptakan oleh Allah, anda diciptakan untuk berkhidmat kepada Allah dan anda akan dikembalikan kepada Allah. Jadi, patutkah sepanjang anda hidup di dunia, anda mengingkari Allah yang telah mencipta dan memberi rezeki kepada anda? Bila anda melakukan kejahatan, dosa dan maksiat, adakah hati anda tenang? Mungkin anda cuba menipu diri sendiri dengan buat-buat muka gembira dan riang bagi menafikan perasaan hati anda sebenar. Cuba anda tanya perompak, perogol,pembunuh dan penjenayah, adakah hati mereka gembira dan tenang dengan perbuatan tersebut?"Dosa ialah apa yang meresahkanmu dan engkau benci orang lain melihatnya."(Riwayat Muslim) Ya, bila anda melakukan sesuatu yang dimurkai Allah dan hati anda tidak tenang dengan perbuatan tersebut, makanya anda bukanlah diri anda yang sebenarnya. Sebab anda telah berikrar sejak di alam roh lagi, iaitu sebelum anda dilahirkan di dunia bahawa anda mengaku bahawa Allah adalah Tuhan anda dan secara automatik hati anda sudah kenal dan dekat dengan Allah. "Bukankah Aku ini Tuhanmu?Maka semua(roh manusia) menjawab,"Benar, (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi."(Surah Al-A'raf:ayat 172). Jadi, diri anda yang sebenarnya ialah bila anda kembali kepada fitrah anda sebenar, iaitu menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Kenal Allah=Cinta Allah

Hukum cinta dah beritahu, tak kenal maka tak cinta. Syeikh Abdul Kadir Jailani pernah berkata, "Sejauh mana cinta kamu kepada Allah bergantung kepada sejauh mana kamu mengenal-Nya." Kenal yang macam mana? Adakah sekadar kita belajar ilmu tauhid, nama-nama Allah dan sifat 20, kita dikatakan sudah mengenal Allah? Tidak, bahkan lebih daripada itu. Ya, kalau kita nak kenal Allah dalam erti kata yang sebenar, kita perlukan ilmu tauhid dan akidah. Tapi, sekadar tahu tidak cukup. Tahu di akal, kenal di hati. Ilmu yang kita dapati perlu diresap dalam hati, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Hukama pernah berkata, "Siapa yang kenal dirinya, maka dia akan kenal Tuhannya." Manusia yang tidak kenal Allah pada nama, sifat dan perbuatan-Nya boleh dikatakan dia tidak kenal dirinya atau istilah lain 'lupa diri'.Bila kita tidak kenal diri kita yang kerdil, kita tak rasa betapa besarnya Allah, maka kita berlagak sombong dan angkuh. Bila kita tidak kenal diri kita hina, maka kita tak rasa kemuliaan dan keagungan Allah. Bila kita tak kenal diri kita lemah, kita sangka kita bijak dan kuat. Lalu kita rasa kita tak perlukan Allah dalam hidup kita. Bagi kita, kita boleh berjaya dan bahagia tanpa Allah dalam hidup kita.

Cinta Sejati yang terpisah

Saya bagi satu anologi. Anda dilahirkan oleh ibu kandung sendiri. Tetapi, selepas anda dilahirkan, anda diserah kepada ibu angkat anda. Ibu angkat andalah yang membelai, menjaga, memberi makan minum, mendidik dan membesarkan anda. Tiba suatu masa anda mendapat maklumat bahawa yang menjaga anda selama ini hanyalah ibu angkat. Anda pun mencari ibu kandung anda. Lalu, anda pun berjumpa dan terjadilah satu pertemuan romantik. Baiklah, saya nak anda jawab dengan jujur, andai anda berada dalam situasi tersebut, siapakah yang lebih anda sayangi, ibu kandung atau ibu angkat? Ya, saya yakin anda akan menjawab bahawa ibu angkat sebab ibu angkatlah yang menjaga anda selama ini walaupun hati kecil anda mengatakan anda patut mencintai ibu kandung anda. Begitu juga kita dengan Allah. Kita sejak di alam roh sudah mencintai Allah dan cinta Allah adalah cinta pertama kita. Tapi, bila kita dilahirkan ke dunia, cinta tersebut terbiar tanpa disuburkan bahkan ditanam dengan 'cinta-cinta' yang lain. Saya tidak menyalahkan ibu bapa seratus-peratus tapi tugas siapakah yang sepatutnya mendidik anak dengan cinta Allah sejak dia dilahirkan lagi?"Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan atas fitrah. Lalu kedua-dua orang tualah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi."(Riwayat Al-Bukhari). Bahkan Saidina Ali pernah berkata, "Awal-awal agama adalah mengenal Allah." Sayangnya, kebanyakan ibu bapa tidak menitikberatkan hal ini bahkan mengenalkan anak mereka dengan cinta yang menjauhkan anak mereka dengan Allah seperti hiburan keterlaluan, keseronokan melampau dan macam-macam lagi. Tapi, bagi kita yang dah besar panjang ini, kita seharusnya sedar dan mencari 'ibu kandung' kita sebenar. Tinggalkan 'ibu angkat' anda seperti menonton video dan filem lucah, hiburan melampau,banyak buang masa dengan perkara sia-sia dan sebagainya.Pepatah arab ada mengatakan, "Setiap orang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya." Cuba kita semak balik buku apa yang sering kita baca, rancangan apa yang kita sering tonton, dengan siapa kita berkawan dan perbualan apa yang sering kita bicarakan. Semua ini memberi kesan kepada hati kita. Terpulang sama ada nak bahagia atau tidak. Kalau anda nak bahagia, tiada jalan lain iaitu bawa hati anda dekat dengan Allah, fitrah asal semula jadi manusia. "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram."(Surah Ar-Ra'd:ayat 28)

Penutup: Mari kembali kepada fitrah

Saya harap anda jelas dengan penjelasan saya beserta anologi. Bagi saya inilah perkara asas dan utama yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat yang betul-betul inginkan tarbiah. Teguhkan akidah dahulu, baru perkenalkan syariat-Nya. Dalam halaqah pertama seliaan saya, perkara ini yang akan saya tekan dulu sebelum saya masuk bab fikrah, rukun usrah, dakwah,hukum-hakam dan syariat. Kalau kita telusuri sirah Rasulullah, ayat-ayat Makiyyah iaitu surah-surah yang berkenaan keimanan dan tauhid diturunkan dahulu pada zaman awal-awal Islam di mekah selama 13 tahun. Sebab Rasulullah sedar bagi mengubah masyarakat Arab yang penuh dengan karat-karat jahiliah, hati mereka perlu dibersihkan dahulu dan keyakinan mereka perlu diperbetulkan. Walaupun kebanyakan ayat-ayat Makiyyah pendek-pendek tetapi berjaya menanam suatu keyakinan tauhid yang sangat teguh pada bangsa Arab jahiliah dahulu. Cinta kepada Allah diperkenalkan agar dengan cinta-Nya, kita sanggup menghadapi segala cabaran dan bencana yang ditimpa kepada kita. Bahkan, kalau kita dapat cinta kita yang sebenarnya, cinta kepada Allah, seolah-olah kita memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang menjadi punca kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan kita. Tapi, nak dapatkan sesuatu yang agung dan bernilai bukan mudah tapi tidak mustahil umpama mencari mutiara di lautan dalam. Akan datang, saya akan jelaskan bagaimana mendapat cintaNya.

-Mohd Syahmi Mohd Shaari-
-Kolej Kediaman Perwira UTHM-
-1.51 a.m.-
-22 April 2011-

No comments:

Post a Comment