Friday, April 15, 2011

Salam Perkenalan



Muqaddimah

Assamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog musafir ilahi ini. Alhmdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, saya telah diberi kekuatan untuk membina blog sendiri. Saya sebenarnya dah lama berhajat untuk membina blog ini sejak awal tahun 2011 ini tapi disebabkan ada sedikit kekangan dan ada perkara penting yang perlu saya utamakan, saya terpaksa menangguhkan penulisan blog saya. Izinkan saya perkenalkan diri saya dahulu. Nama diberi Mohd Syahmi bin Mohd Shaari. Dilahirkan di hospital tuanku ja’afar@besar seremban, Seremban, Negeri Sembilan pada 25 November 1990. Sekarang menetap di Taman Bukit Chedang, Seremban, Negeri Sembilan. Saya adalah anak pertama daripada 4 orang adik-beradik. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dato’ Bandar Rasah(2002) dan kemudian menyambung pendidikan menengah di SMK Seremban 2(2003-2005) dan Sekolah Teknik Tuanku Ja’afar(2006-2007). Selepas itu menyambung ke peringkat matrikulasi di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan(2008-2009). Sekarang sedang menuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar. Insya-Allah, saya akan menghabiskan pengajian selama 4 tahun di sini. Hobi saya yang paling utama adalah membaca buku dan menulis. Selain itu, saya minat mendengar muzik, berbasikal,berenang,bermain badminton dan mencuba benda-benda baru yang boleh meningkatkan potensi diri saya.

Mungkin anda bertanya-tanya kenapa saya memilih nama musafir ilahi sebagai tajuk blog saya? Musafir merujuk kepada manusia itu sendiri yakni sebagai seorang hamba Allah yang sedang bermusafir di dunia sebagai tempat persinggahan mencari bekalan untuk persediaan ke destinasi utama kita, akhirat. Ilahi merujuk kepada Tuhan iaitu Allah selaku Pencipta dan Penguasa manusia itu sendiri. Jadi, musafir ilahi bermaksud hamba Allah yang sedang mengembara di tempat sementara dan mencari ‘bekalan’ yang perlu sebelum mengetahui pengakhiran hidupnya di alam abadi sama ada bahagia atau celaka. Mungkin anda bertanya-tanya kenapa saya menulis? Adakah sebab nak kejar populariti? Adakah ingin mengejar kekayaan dengan melakukan perniagaan blog? Atau menulis sekadar mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan setalah seharian menatap buku-buku kejuruteraan?

Penulisan lebih daripada itu

Kalau niat saya menulis disebabkan faktor-faktor di atas, maka secara jujur, kemungkinan besar saya tidak akan bertahan lama dalam dunia penulisan. Mungkin pada awal-awalnya saya akan bersemangat menulis, tapi lama-kelamaan akan merundum dan akhirnya hilang terus. Kalau saya menulis bervisikan dunia semata-mata, maka bila saya mati kelak, hilanglah nilai penulisan saya dan habislah sudah pelaburan saya. Sebab dunia hanya sementara dan tidak akan kekal lama. Tapi, saya memikirkan saya dapat menulis sesuatu yang boleh memberi pelaburan kepada saya secara berterusan hatta jika saya sudah meninggal dunia kelak. Saya memikirkan bila saya menulis, saya dapat memberi manfaat bukan hanya kepada diri saya, bahkan kepada masyarakat di luar sana. Saya memikirkan bila saya menulis, saya bukan hanya ingin menjadikan penulisan saya sekadar seronok dibaca, tetapi mampu menyentuh hati orang lain dan mengerakkan jiwa dan minda mereka sekaligus. Dan pada pandangan anda semua, apakah jenis dan tema penulisan yang mampu mencapai tujuan kepada persoalan saya tadi?

Menulis untuk Islam

Saya tidak mahu berteka-teki lagi. Saya ingin menyatakan bahawa saya menulis untuk menjawab tiga persoalan asas untuk manusia yang tidak mampu dijawab oleh saintis dan cendikiawan terhebat sekalipun. Tiga persoalan yang hanya mampu dijawab oleh Pencipta manusia sendiri. Tiga persoalan yang mampu dijawab oleh ilmu wahyu bukan ilmu akal. Apakah tiga persoalan itu?

1. Dari mana aku datang?

2. Untuk apa aku didatangkan?

3. Ke mana aku akan pergi?

Nampak soalan-saoalan ini agak mudah tapi soalan-soalan inilah yang merungkaikan segala persoalan hidup manusia dari awal sebelum dia dilahirkan sehingga dia akan hidup selama-lamanya di destinasi selama-lamanya. Ya, saya menulis untuk mempromosikan Islam itu sendiri kepada manusia, agama fitrah bagi semua manusia. Saya yakin bila saya menulis tentang Islam, saya mampu mencapai semua tujuan-tujuan yang telah dinyatakan tadi dan memberikan kepuasan yang maksima kepada diri saya. Sebab saya yakin tiada yang lebih tinggi dan mulia daripada Islam. Daripada `A’idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi SAW bersabda : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

Menulis sebagai medan dakwah

Penulisan adalah salah satu cabang dalam berdakwah. Saya tidak katakan bahawa penulisan adalah medan dakwah terbaik dan paling efektif tapi penulisan adalah salah satunya. Manusia sangat memerlukan kepada dakwah. Tidak hairankah dalam Quran, Allah menceritakan banyak kisah-kisah nabi yang diutus kepada kaum masing-masing bagi memberi peringatan dan khabar gembira kepada manusia. Hakikatnya dakwah adalah satu keperluan kepada manusia bukan kehendak manusia walupun ramai manusia tidak suka kepadanya. Manusia didatangkan daripada Allah, dicipta untuk berkhidmat kepada Allah dan akan kembali jua kepada Allah.”Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi(tulang belakang) anak cucu adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka(seraya berfirman), Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi”(Al-A’raf:172) . Jelaslah bahawa manusia pada fitrahnya sangat dekat kepada Allah melalui perjanjian kita kepada Allah sejak di alam roh lagi. Tetapi, setelah manusia dilahirkan di dunia ini dan disebabkan faktor didikan,persekitaran, pembacaan dan rakan sebaya, manusia makin lama makin jauh daripada Allah dan hal inilah yang menjadi punca hidup manusia tidak bahagia, tenteram dan selamat. Sebab manusia itu sendiri lari daripada fitrah sebenar dia, iaitu sebagai hamba Allah. Di sini, saya ingin berkongsi kepada anda semua formula kebahagiaan dan kecemerlangan hidup manusia bukan sahaja di dunia malah melangkaui alam akhirat. Bagaimana? Dengan mengajak anda sekalian agar kita kembali kepada Allah dan mengamalkan Islam sepenuhnya bukan hanya pada juz’i-juz’i(islam pecahan). Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”(Al- Baqarah,208)

Saya bukanlah orang terbaik

Saya tahu saya bukanlah orang terbaik bagi anda semua bagi mengajar anda tentang Islam sedangkan saya juga seperti anda, masih belajar. Tapi, dengan ilmu dan pengetahuan yang saya ada, saya merasakan tanggungjawab saya menyampaikan apa yang saya tahu kepada anda. Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat!" (Hadith Riwayat Al-Bukhari).Satu persoalan, adakah saya perlu menunggu diri saya sempurna dahulu, baru saya boleh mengajak anda sekalian? Kalau begitu, berapa lama masa yang saya perlukan untuk menjadi insan yang betul-betul sempurna dan adakah terjamin saya boleh menjadi 100% ‘perfect man’? Di sini, Sheikh Mustapha Masyur pernah berkata, “Perbaiki diri kamu sambil ajaklah orang lain.”

Dalam usaha saya mentarbiah diri saya menjadi insan rabbani iaitu insan yang berjiwakan ketuhanan dalam diri saya, saya juga bertanggungjawab mengajak anda menjadi insan rabbani juga.

Medan penulisan, medan dakwah

Berdakwah adalah kewajiban bagi semua manusia. Hadis Nabi s.a.w. ada menyatakan, "Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan lisannya, dan apabila tidak mampu maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadits riwayat Imam Muslim).

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Imran: 104)

Jelaslah bahawa berdakwah iaitu menyeru manusia agar kembali kepada Allah adalah kewajiban bagi semua manusia mengikut kemampuan masing-masing. Dan penulisan adalah salah satu wadah dalam berdakwah kepada manusia .

Moga-moga menjadi jariah bagi saya

Saya tidak akan dapat apa-apa melalui penulisan ini. Tetapi, jujurnya , saya kata, saya akan rasa puas dan bahagia bila orang lain kembali mendekat kepada Allah melalui pembacaan penulisan saya. Sebab saya dapat memberi sesuatu yang berharga kepada seseorang. Adakah benda yang lebih berharga daripada nikmat Islam dan iman? Erti hidup pada memberi bukan menerima. Dan penulisan adalah salah satu cara bagi saya untuk memberi. Pepatah cina ada mengatakan ,”Tangan yang menghulur bunga mawar akan lebih dahulu harum baunya”. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan datang semula kepada kita.Walaupun kebaikan saya tidak mampu mengubah sikap negatif orang lain, tapi kebaikan saya melalui penulisan ini sekurang-kurangnya mampu mengembirakan dan menenangkan diri saya sendiri.

Saya berharap agar Allah menerima amal jariah saya melalui penulisan islami ini. “Jika manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga macam:sedakah jariah,ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang medoakan kedua orang tuanya.”(Hadis Riwayat Muslim). Amal jariah yang menjadi pelaburan besar kepada saya di alam akhirat. Insya-Allah.

Penutup:-Jangan lihat saya, lihatlah apa saya nak kongsi

Luqman al-hakim pernah ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, “Aku belajar hikmah daripada orang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya.” Ayuh, mari sama-sama kita belajar daripada ‘universiti kehidupan’ ini. Jika kita rendah diri, kita boleh belajar daripada semua orang, keadaan, tempat dan peristiwa. Dalam blog saya, saya akan selitkan beberapa kisah dan pengalaman saya ketika saya berjumpa dengan orang dan berdepan dengan pelbagai situasi dan saya akan masukkan nilai-nilai tarbiah di sebalik peristiwa yang saya lalui. Tujuan saya satu, saya nak memanamkan keyakinan kepada diri dan kalian bahawa tarbiah adalah jalan penyelesaian kepada semua permasalahan manusia. Insya-Allah, saya akan huraikan dalam tajuk-tajuk yang akan datang. “Tarbiah bukan segala-galanya tapi segala-galanya bermula dengan tarbiah.”

Iqra’...bacalah...bacalah dengan nama Allah. Rendahkan hati anda ketika membaca. Usah pedulikan sama ada saya ini jahat atau baik, jahil atau ilmuwan, tapi yakinlah bila anda tawaduk dan merendah diri, anda bukan sahaja boleh belajar daripada orang alim dan berilmu bahkan orang jahil dan dungu seperti kata-kata Luqman al-Hakim. Saya sangat terbuka kepada segala teguran, komen dan kritikan daripada anda sekalian. Tidak bermakna apa yang saya tulis nanti adalah kebenaran mutlak dan saya sahajalah yang betul. Tidak!!!Saya sangat terbuka dengan perkongsian anda semua. Jika anda mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih baik daripada apa yang saya ingin sampaikan, saya sangat mengalu-alukan. Kalau ada sebarang kesalahan fakta dan informasi, saya sangat menggalakkan anda memperbetulkan saya. Lagi satu, saya tidak hanya sekadar hebat di ‘alam penulisan’. Saya juga berazam untuk menjadi hebat di ‘alam realiti’. Apa yang saya tulis, moga-moga itulah cerminan sebenar saya di dunia sebenar. Masakan, saya menulis sesuatu tentang keimanan tapi jiwa sebenar saya tidak dekat dengan Allah? Tidak boleh begitu(kata-kata untuk diri). Maka, saya akan berusaha untuk menjadi ‘manusia hebat’ di dua alam yang berbeza. Saya tetap diri saya. Insya-Allah. Doakan dan nikmatilah hasil penulisan saya.

“Ya Allah, bantulah hambaMu yang daif dan lemah ini. Berkatilah usaha aku dalam salah satu cabang dakwah ini. Aku tidak mengharapkan ganjaran material, aku tidak mengharapkan sanjungan dan populariti tetapi cukuplah keredhaan dan kasih sayangMu sebagai ganjaran bagi ku.”

-Mohd Syahmi bin Mohd Shaari-

-Kolej Kediaman Perwira UTHM-

-16 April 2011-

-12.15 p.m.-

No comments:

Post a Comment